KEJUTAN Grimsby Town menyingkirkan Manchester United dalam saingan Carabao Cup dicemari isu peraturan apabila kelab League Two itu didenda £20,000 (RM113,000) oleh Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).
Kesalahan berlaku apabila Clarke Oduor didaftarkan pada jam 12.01 tengah hari, sehari sebelum perlawanan di Blundell Park, lewat 60 saat daripada tarikh akhir pendaftaran pada jam 12 tengah hari, sekaligus menjadikannya tidak layak diturunkan.
Grimsby menjelaskan kelewatan berpunca daripada masalah komputer sebelum segera memaklumkan kepada pihak berkuasa selepas perlawanan.
Ironinya, Oduor yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-73 turut mengambil sepakan penalti dalam penentuan, namun gagal menyempurnakan tendangannya.
Kesalahan itu, yang dilaporkan sendiri oleh Grimsby Town kepada EFL, menjurus kepada denda £20,000 (RM113,000) dengan £10,000 (RM56,500) daripadanya ditangguhkan hingga akhir musim 2025-26.