MENJADI pasangan wanita dominan atau “alpha female” di peringkat beregu wanita dunia adalah perkara yang sukar dilihat dalam sejarah badminton negara.
Melihatkan prestasi dan reputasi Pearly Tan-M Thinaah, ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak yakin, pencapaian mereka kini setaraf pemain lelaki, bukan semata-mata status naib juara dunia mahupun kedudukan ranking kedua ketika ini.
“Kalau ikut sejarah, memang jarang pemain wanita berjaya dalam badminton. Selama ini lebih kepada pemain lelaki. Jadi ini membuktikan pemain wanita pun mampu untuk menyinar di peringkat antarabangsa,” katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Rosman turut menekankan bahawa kejayaan itu memberi penanda aras penting buat pemain muda untuk terus berusaha menjejaki pencapaian sama.

Pearly Tan-M Thinaah kini mempunyai corak permainan yang agresif.
“Saya rasa pemain muda sudah ada satu tanda aras. Mereka boleh rasa ini bukan satu benda mustahil.
“Malah, ketika Pearly-Thinaah masih aktif, ia menjadi peluang terbaik untuk pemain muda belajar terus daripada mereka. Bukan macam legenda yang sudah bersara, tapi mereka sedang bermain di tahap tertinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai beregu wanita berada dalam kelompok elit dunia, ia menjadi dimensi baharu yang sebelum ini melihat Malaysia bergantung kepada pemain lelaki.