ISTERI kepada pemain Arsenal, Kai Havertz, Sophia, mendedahkan dirinya menjadi mangsa kecaman keji secara dalam talian selepas kekalahan Arsenal kepada Manchester United dalam perlawanan Piala FA di Stadium Emirates pada Ahad.
Havertz menjadi perhatian selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam penentuan sepakan penalti yang menyaksikan pasukannya tersingkir daripada saingan tersebut.
Penyerang Jerman itu turut mensia-siakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan lewat permainan apabila tendangannya melepasi palang walaupun berada dalam posisi terbaik di depan pintu gol.

Salah satu kecaman yang diterima oleh Sophia menerusi Instagram miliknya
Dalam perlawanan itu juga, Havertz dilihat terlibat dalam pertelingkahan dengan pemain United, Manuel Ugarte dan Harry Maguire, sehingga suasana tegang tercetus.
Namun, perhatian utama tertumpu kepada apa yang berlaku selepas perlawanan apabila Sophia, yang juga seorang influencer terkenal, mendedahkan mesej-mesej berbaur hinaan yang diterimanya menerusi media sosial.
Sophia, 25, yang mengumumkan kehamilannya pada November lalu, memuat beberapa mesej DM berisi kecaman melampau yang dihantar kepadanya.
“Untuk sesiapa yang berfikir ia okay untuk menulis sesuatu seperti ini, ia sangat mengejutkan saya, saya harap anda begitu malu dengan diri sendiri.
“Saya tidak tahu apa yang patut saya katakan, tetapi tolonglah, lebih hormat. Kita lebih baik daripada ini,” tulis Sophia menerusi Instagram Story miliknya.
Sophia dan Havertz mula menjalinkan hubungan pada 2018 ketika Havertz masih bermain bersama Bayer Leverkusen.
Selepas itu, pada musim panas 2023, Havertz menyertai Arsenal dengan perpindahan bernilai £65 juta (RM377 juta), dan Sophia terus menjadi penyokong setia suaminya di kelab baharu itu.
Pasangan itu kemudiannya bertunang pada musim panas yang sama dan berkahwin pada Julai 2024 selepas Jerman tersingkir daripada saingan Euro 2024.
Insiden hinaan yang diterima Sophia ini sekali lagi membangkitkan persoalan tentang tingkah laku buruk segelintir peminat bola sepak di media sosial.
Tindakan kecaman melampau ini bukan sahaja mencemarkan sukan yang penuh semangat, tetapi juga memberi impak emosi kepada mereka yang menjadi mangsa.