BARCELONA kini dikatakan sedang merancang langkah strategik untuk membawa masuk bintang Liverpool, Mohamed Salah, yang kontraknya dijangka tamat pada musim panas tahun depan.
Namun, perbincangan mengenai perpindahan ini mencetuskan kebimbangan terhadap pembangunan bakat muda, Lamine Yamal.
Salah, 32, yang baru-baru ini mengakui bahawa dirinya lebih cenderung untuk keluar daripada kekal di Anfield, telah mencetuskan spekulasi besar mengenai masa depannya.
Menurut satu laporan daripada media Sepanyol, Barcelona berada dalam kalangan kelab Eropah yang memantau situasi Salah dengan harapan mendapatkan khidmatnya secara percuma jika kontraknya tamat.
Sebagai salah seorang penyudah terbaik dunia, Salah telah menjaringkan 12 gol dalam semua kejohanan musim ini.
Walaupun perpindahan ini dilihat mampu memperkuatkan jentera serangan pasukan La Blaugrana, terdapat keraguan dalam kalangan pihak pengurusan kelab sama ada perpindahan itu diperlukan, terutamanya apabila Barcelona sudah memiliki pemain sayap kanan berbakat besar, Lamine Yamal.
Yamal, 17, dianggap sebagai bintang masa depan Barcelona dan ramai pihak di kelab itu mahu memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat muda seperti Yamal lebih penting daripada membawa masuk Salah, yang kini berusia 15 tahun lebih tua daripadanya.
Tambahan pula, gaji tinggi yang bakal dituntut Salah berpotensi memberikan tekanan kewangan kepada Barcelona, yang kini sedang berusaha menguruskan struktur gaji kelab dengan lebih teratur.
Sementara itu, Mohamed Salah perlu kekal fokus menjelang pertemuan penting Liga Juara-Juara UEFA menentang seteru utama Real Madrid, pada Khamis ini.
Keputusan Barcelona sama ada untuk membawa masuk Salah atau terus mempercayai bakat muda seperti Yamal akan menjadi salah satu persoalan besar yang menarik perhatian dalam jendela perpindahan akan datang.