PEMAIN Terengganu FC (TFC), Habib Haroon menuntut rakan-sepasukannya mengekalkan momentum kemenangan menjelang kunjungan ke Stadium MBPJ bertemu Selangor, Rabu ini.

Tonggak tengah kelahiran Bahrain itu berkata, TFC perlu mengutip mata penuh walaupun rekod di tempat lawan musim ini kurang baik hanya satu kemenangan diraih daripada enam perlawanan.

Menurutnya, TFC bagaimanapun menjangkakan tentangan yang sukar daripada skuad The Red Giant yang kini dibimbing pengendali sementara, Nidzam Jamil.

“Kali terakhir menang di tempat lawan pada 17 April lalu dan kami tiada pilihan selain mengutip mata penuh, Rabu ini. Namun Selangor bukan lawan yang mudah.

“Walaupun dilatih jurulatih sementara, tidak bermakna tugas mudah buat TFC. Dua kali bertemu mereka musim ini dan kedua-duanya kami diberi tentangan hebat.

“Apapun dalam bola sepak macam-macam boleh terjadi. Saya juga kalau boleh mahu menjadi penjaring gol,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Terengganu Fc kini berada ditangga keempat liga dengan 20 mata selepas 14 perlawanan.