KETIKA masa depan ketua jurulatih dan beberapa tonggak utamanya masih samar, salah seorang pemain import Terengganu FC (TFC) hampir pasti kekal bersama pasukan itu musim depan.
Bercakap kepada FLASH SUKAN Habib Haroon, 22, mendedahkan telah menerima bukan sahaja tawaran TFC malah daripada beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) yang lain.
Namun pemain berasal Bahrain itu meletakkan keutamaan kepada skuad Sang Penyu sambil menyifatkan peluang beraksi dalam Piala AFC 2023 sebagai tarikan utama untuk terus kekal.
“Tawaran itu datang daripada TFC, kelab Liga M dan beberapa kelab luar negara. Sebagai pemain sudah tentu faktor beraksi dalam Piala AFC memainkan peranan.
“Setelah dua musim bersama TFC, saya cukup gembira untuk tinggal lebih lama di sini. InshaAllah saya akan kekal. Tetapi saya belum tandatangan sebarang tawaran lanjutan kontrak lagi.
“Saya mahu fokus membantu pasukan ini dalam saingan Piala Malaysia terlebih dahulu dan TFC berada di landasan terbaik memburu kejuaraan sulung musim ini.
“Khabar angin tentang pasukan sejak kebelakangan ini tidak menganggu moral pasukan sebaliknya kami lebih bersemangat sebagai satu keluarga,” jelasnya ketika ditemui.
Mengulas lanjut aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia bertemu KL City FC, Sabtu ini, Habib mengakui kelebihan 1-0 dimiliki belum selamat dan berharap tuah laman sendiri terus memihak TFC.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tanpa penyokong, kita bukan siapa-siapa” – Habib Haroon
Menurutnya, aura penyokong setia hitam putih TFC akan memberi tonik tambahan dalam misi meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia bertemu juara bertahan itu.
“Ketiadaan penjaga gol (Suhaimi Husin) akibat penggantungan tidak akan memberi masalah, kami ada pengganti yang setanding.
“Kami perlu anggap ini adalah perlawanan akhir dan menghormati KL City FC. Namun beraksi di gelanggang sendiri, TFC akan berjuang habis-habisan selama 90 minit,” katanya.