SUKAN bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi jambatan penyatuan apabila Larian Kidslympic 2026 edisi Raya berjaya menghimpunkan kanak-kanak dan keluarga dalam suasana penuh warna serta semangat Ramadan di sekitar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

Bermula seawal jam 6.30 petang sebelum waktu berbuka puasa, acara itu tampil dengan pendekatan unik apabila menggabungkan aktiviti larian santai bersama penghayatan nilai keagamaan, sekali gus memberi ruang kepada peserta mengekalkan gaya hidup sihat tanpa mengabaikan kewajipan berpuasa.

Lebih menarik, program tersebut bukan sekadar acara sukan biasa apabila ia turut disusuli dengan majlis berbuka puasa serta solat Maghrib, Isya’ dan tarawih, mencerminkan keharmonian serta identiti majmuk masyarakat Malaysia dalam satu platform.

Pengasas bersama Kidslympic Malaysia, Goh Liu Ying menyifatkan edisi Raya ini sebagai bukti sukan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan generasi muda.

“Selepas kejayaan edisi Tahun Baharu Cina, edisi Raya ini membuktikan bagaimana sukan mampu menyatukan kanak-kanak dan keluarga merentasi budaya. Kidslympic bukan sekadar pertandingan, ia adalah perayaan penyatuan dan semangat kesukanan,” katanya.

Kehadiran pelbagai pihak termasuk pengasas bersama Wong Kang Woon serta wakil agensi sukan turut menyerlahkan sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan akar umbi yang menjadi teras utama penganjuran Kidslympic Malaysia.

Dengan penyertaan kategori mesra kanak-kanak dan segmen keluarga, acara itu jelas berjaya mencipta suasana ceria selain memberi peluang kepada generasi muda untuk mendekati sukan dalam persekitaran yang menyeronokkan dan inklusif.

Kejayaan edisi Raya ini sekali lagi mengukuhkan peranan Kidslympic sebagai platform penting dalam membentuk gaya hidup aktif serta memupuk nilai murni dalam kalangan kanak-kanak, selari dengan aspirasi melahirkan generasi masa depan yang sihat dan bersatu.