KEMPEN Piala Presiden 2025 bakal membuka tirainya dengan pertembungan klasik dua gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim III (JDT III) dan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Sabtu ini.
Aksi tumpuan itu dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasukan memiliki sejarah panjang dalam membentuk barisan pemain muda berkualiti.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saingan Piala Presiden kali ini menyaksikan 11 pasukan berentap dalam kategori bawah 20 tahun. Selain JDT III dan Selangor FC, antara pasukan yang turut menyertai musim 2025 ialah Terengganu FC U-20, Negeri Sembilan FC, AMD B-17, Penang FC II, Kuching City FC, PDRM FC, Sabah FC II, Kuala Lumpur City FC dan Melaka FA.
Bukan itu sahaja, FAM turut mengesahkan Piala Belia 2025 akan melibatkan 14 pasukan bertanding bagi kategori bawah 18 tahun.
Pasukan-pasukan yang bakal memberi saingan termasuklah JDT IV, Terengganu FC U-18, Selangor FC, AMD B-16, Penang FC III, Kuching City FC, Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC, Sabah FC III, PDRM FC, JDT V, Melaka FA, AMD B-17 Future dan SSTMI B-17.
Langkah ini merupakan antara usaha proaktif FAM dalam mengekalkan momentum pembangunan akar umbi selepas kejohanan Piala MFL Bawah 23 Tahun diumumkan dimansuhkan bagi musim 2025-2026.
Fokus kini sepenuhnya tertumpu kepada dua platform utama ini iaitu Piala Presiden dan Piala Belia sebagai medan bakat muda membuktikan kemampuan dan layak diketengahkan ke pentas lebih tinggi.
Saingan musim ini bukan sekadar tentang merebut trofi, tetapi juga tentang masa depan bola sepak Malaysia. Aksi sulung Sabtu ini bakal memberi gambaran awal siapa yang benar-benar bersedia menggegar pentas pembangunan bola sepak tanah air.