PEMANDU pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton menganggap podium pertamanya dan pasukan musim ini di Grand Prix Australia sebagai menakjubkan kerana dia kembali dapat mencabar kelompok hadapan.

Hamilton menamatkan perlumbaan dramatik di Litar Albert Park di tempat kedua dibelakang Max Verstappen yang menyaksikan perlumbaan dihentikan sebanyak tiga kali dan dipimpin kereta keselamatan.

Namun begitu di sebalik kegembiraan itu, pasukan Mercedes kehilangan sebuah jentera apabila George Russell terpaksa berhenti akibat kerosakan enjin meskipun berjaya mendahului pada peringkat awal perlumbaan.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua peminat di Australia dan Melbourne terutamanya. Saya mempunyai minggu yang menarik di sini. Cuaca sangat menarik dan litar serta bandar ini terus memberikan persembahan yang hebat.

“Ianya malang buat George dan kami akan melihat perkara ini kerana daya ketahanan jentera kami biasanya bagus secara keseluruhan. Sangat bagus untuk mendapat mata dan sejujurnya saya tidak menyangka akan mendapat tempat kedua dan saya sangat bersyukur,” katanya selepas perlumbaan.

Ditanya apakah perasaannya ketika berada di dalam jentera W14, Lewis mengatakan dia masih tidak selesa dengan kereta namun dia percaya mereka mampu merapatkan jurang dengan Red Bull apabila musim berlangsung.

“Saya masih kurang selesa di dalam kereta kerana masih tidak dapat merasakan hubungan dengan kereta dan saya hanya memandu sebaik yang mungkin dan bekerja keras untuk mencuba dan mencipta hubungan itu namun kami jelas ketinggalan kepada kepantasan Red Bull terutama ketika laluan lurus.

“Bagi kami untuk mampu bersaing dengan Aston Martin, ianya sangat menakjubkan di tahap ini dan kami perlu terus berjuang. Terima kasih yang tidak terhingga buat mereka di kilang. Kami mampu rapatkan jurang meskipun ianya sukar tetapi tidak mustahil,” tambahnya.

Keputusan perlumbaan itu meletakkan Hamilton kini di tempat kelima senarai pemandu dengan 20 mata manakala Mercedes pula di tangga ketiga dalam kategori pengeluar dengan 56 mata.

Perlumbaan Formula 1 berehat sebentar selama satu bulan sebelum bersambung di Grand Prix Azerbaijan pada Mei dengan Mercedes pastinya mahu merapatkan jurang dan mencabar pendahulu terkini, Red Bull Racing.