SEGALA permintaan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia akan diteliti dan dibawa ke peringkat pengurusan Projek Road to Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, antara permintaan yang akan diberi perhatian adalah sokongan dari segi insfrastruktur, kejurulatihan dan rakan sepelatih selepas kedua-dua mereka mengadakan pertemuan Sabtu lalu, yang turut dihadiri penyelaras jawatankuasa RTG, Stuart Ramalingam.

Pertemuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan penyelaras jawatankuasa RTG, Stuart Ramalingam bersama Lee Zii Jia, mendapat maklum balas positif.

“Kena bawa balik ke RTG (permintaan Zii Jia). Setakat ini permintaannya seperti apa yang saya tulis di Facebook. Sokongan dari segi infrastruktur, kejurulatihan dan rakan sepelatih,” katanya, ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan dan Rakaman Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Atlet di Majlis Sukan Negara (MSN).

Ujar Hannah, sekarang ini mereka harus meneliti segala permintaan yang dibuat Zii Jia terutama dari segi kejurulatihan dan insfratruktur.

Sabtu lalu Hannah mengadakan pertemuan dengan Zii Jia dan menyifatkan ia sebagai satu perbincangan yang positf terutama untuk program RTG.

Segala permintaan Lee Zii Jia akan dibawa ke RTG.-Hannah Yeoh

Paling mencuri perhatian ialah pengakuan Hannah sendiri bahawa Zii Jia memberitahunya mengidamkan pingat emas pertama di Paris 2024 untuk negara.

Sementara itu, Hannah menasihatkan semua atlet supaya menjaga pemakanan apabila menyambut Aidilfitri bersama keluarga minggu depan.

Sekitar Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan dan Rakaman Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Atlet di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ini bukan untuk atlet sahaja, tetapi semua, selepas sebulan berpuasa mengambil makanan dengan penuh bersederhana jangan pula di Hari Raya nanti jumlah kilogram (berat badan) yang hilang itu patah balik kepada mereka dengan cepat.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua atlet yang pulang ke kampung sentiasa berhati-hati di jalan raya. Fokus kepada pemanduan dan jangan asyik melihat telefon bimbit sahaja,” katanya.