KEJAYAAN gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan kemarau 15 tahun gelaran beregu lelaki di Terbuka India pada Ahad, menyuntik rasa teruja untuk melihat mereka merampas takhta nombor satu dunia.
Namun mengikut perkiraan, kejayaan itu belum cukup untuk melonjakkan pasangan profesional itu ke tangga teratas carta yang akan dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) esok.
Begitupun, pencapaian di New Delhi itu, setidak-tidaknya memberi keyakinan lebih tinggi dalam perjalanan mereka mengejar kedudukan teratas beregu lelaki.

Kim Astrup-Anders Skaarup Rassmussen dari Denmark dijangka mengekalkan takhta nombor 1 dunia minggu ini.
“Saya rasa kami mempunyai sasaran untuk menang… bagi kami, kemajuan prestasi adalah matlamat utama.
“Jika boleh bermain dengan baik, ranking kami pasti akan lebih tinggi daripada sebelumnya,” kata Izzuddin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Muncul juara Terbuka India bermakna mereka mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dunia kerana dijangka mengumpul 91.876 mata.
Mereka hanya akan dipisahkan 3.127 mata berbanding beregu nombor satu dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang diramal mengumpul 95.003 mata.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin terus menghampiri takhta nombor satu dunia.
Menjadikan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan sebagai idola jelas sekali membantu gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk menamatkan kemarau 15 tahun beregu lelaki negara, di Terbuka India.
Sentuhan tajam di jaring dan penguasaan dalam pertukaran pantas pendek, amat sinonim dengan gaya ‘The Daddies’.
Bagaimanapun, menewaskan pasangan Korea, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15,13-21, 21-16, bukan tugas mudah.
Pada kejohanan seterusnya di Indonesia Masters, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak mengambil bahagian namun kejohanan itu tetap penting kerana bakal menjadi aksi terakhir Ahsan-Hendra untuk mengumumkan persaraan sebagai pemain profesional.

Kim Won Ho-Seo Seung Jae mencatat keputusan cemerlang biarpun hanya dua kali digandingkan di pentas antarabangsa.
“Idola kami adalah Hendra dan Ahsan. Kami memang sedaya upaya meniru gaya permainan mereka,” kata Sze Fei.
“Kami gembira kerana berjaya mengatasi cabaran minggu lalu. Won Ho-Seung Jae jarang membuat kesilapan sendiri, jadi komunikasi antara kami di gelanggang amat penting,” tambah Sze Fei.
Kejuaraan dimenangi di New Delhi itu Sze Fei-Izzuddin membawa pulang RM316,212.28.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di Terbuka India adalah pada tahun 2010 yang dimenangi oleh Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.

Korea Selatan bertindak berani, menguji gandingan berbeza termasuk memecahkan pasangan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Sementara pasangan negara terakhir menduduki ranking nombor 1 dunia pula adalah Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada November 2016.
Sementara itu, Korea Selatan nampaknya masih bereksperimen bagi melihat kesesuaian gandingan baharu.
Manakan tidak, Won Ho yang cukup dikenali dalam beregu campuran sudah beberapa kali ‘mencuba’ gandingan baharu dalam beregu lelaki.
Pada November lalu, Won Ho dipasangkan dengan Jin Yong pada Korea Masters dan mereka mempamerkan prestasi baik hingga muncul naib juara.
Pada dua kejohanan pertama tahun ini pula,Won Ho bergandingan dengan Seo Seung Jae, telah memenangi gelaran Terbuka Malaysia dan naib juara Terbuka India.
Pada kejohanan Indonesia Masters minggu ini, Won Ho dipasangkan dengan Kang Min Hyuk pula, manakala Seung Jae digandingkan bersama Jin Yong.