MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu kejayaan Harimau Malaya mengikat Republik Korea dalam aksi Kumpulan E, Piala Asia Khamis lalu akan dikenang sebagai detik-detik manis buat para penyokong Harimau Malaya terutama peminat-peminat cilik.

Hannah juga turut mengingatkan rakyat Malaysia agar menjadikan pencapaian Harimau Malaya masa kini yang mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan menjadi penanda aras dan mencetus kegemilangan buat generasi baharu sukan negara.

“Saya banyak mendengar zaman kegemilangan sukan dahulu, tetapi apa yang saya percaya, ramai anak muda dan generasi baharu akan ingat dalam memori mereka yang Harimau Malaya mampu bersaing dengan Korea Selatan.

“Kita tidak mahu bergantung pada kegemilangan dahulu, sebab zaman telah berubah dan lawan juga berubah,” katanya ketika menyambut ketibaan pulang skuad Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tinjauan FLASH SUKAN di balai ketibaan Terminal 1 KLIA, ramai peminat cilik yang menunggu hampir dua jam untuk melihat sendiri idola mereka di depan mata dengan masing-masing cuba mendapatkan tandatangan dan berswafoto bersama para pemain dan barisan kejurulatihan.

Meskipun gagal mara ke pusingan 16 terbaik, Harimau Malaya berjaya mencuri hati penyokong bola sepak apabila mempamerkan aksi luar biasa ketika bangkit mengikat pasukan di ranking ke-23 dunia itu.

 

Turut hadir adalah Timbalan Menteri KBS, Adam Adli serta Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman yang mewakili badan induk bola sepak negara itu untuk menerima cek bernilai RM 5 juta yang disumbangkan Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia kini akan kembali fokus kepada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat dan Bukit Jalil pada Mac.