SEMUA pakai duit sendiri dan kami ‘tong’ beramai-ramai.

Jelas jurucakap Ekor Harimau Malaya, Mohd Arif kepada FLASH SUKAN di Doha, Qatar selepas perlawanan persahabatan bola sepak penyokong antarabangsa sempena temasya Piala Asia 2023 yang berlangsung empat tahun sekali itu.

Dalam perlawanan yang diadakan di Doha Sports Park, Qatar petang Isnin, Ekor XII Harimau Malaya menang 4-3 ke atas Hong Kong Dragon.

Perlawanan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan kedua penyokong yang turut sama-sama berada di Qatar menyokong pasukan negara masing-masing.

Menambahkan lagi seri dan suasana permainan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut hadir meluangkan masa beramah mesra pemain Ekor Harimau Malaya yang berseragam tradisi kuning penuh.

“Pemain tadi ada dalam 22 orang dan bercampur tua dan muda. Sepak mula jam 3.30 petang dan berlangsung dalam cuaca sejuk.

“Format permainan pula dilangsungkan secara tiga half. Kita bertukar cenderahati mafla dan jersi. Anda antara penyokong dua negara pun ada bawa sendiri untuk bertukar baju, mafla dan sticker,” katanya.

Ujar Arif, dirinya sendiri mengatur perlawanan persahabatan dan berjaya direalisasikan di bumi Doha sempena Piala Asia yang sedang berlangsung.

“Saya arrange dengan penyokong dia yang kali ketiga jumpa, namanya Edmund. Masa perlawanan di Malaysia dia pernah datang dan masa lawan Hong Kong pun kebetulan berjumpa.

“Semoga ikatan persaudaraan dalam kalangan penyokong terus bertambah erat,” ujarnya yang menyokong skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon agar terus mengaum lagi di persada antarabangsa.

Untuk rekod, hajat Malaysia layak ke Pusingan 16 buat pertama kali hancur selepas kalah dua perlawanan berturut-turut dalam Kumpulan E.