MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu menguruskan isu kepimpinan yang sedang melanda tanpa menjejaskan hala tuju pembangunan bola sepak negara, sekali gus mengajak penyokong agar tidak bimbang terhadap kesinambungan program sedia ada.
Menurut Hannah, perubahan pucuk pimpinan dalam mana-mana persatuan sukan bukanlah sesuatu yang luar biasa dan beliau percaya FAM mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar. Malah, pengalaman badan induk itu mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini menjadi sandaran kukuh bahawa isu kali ini mampu ditangani dengan baik.
“Saya tidak anggap ia satu krisis kerana mereka sudah ada pemangku presiden dan semua program masih berjalan seperti biasa. Perubahan dalam kepimpinan persatuan sukan ini bukan aneh, malah saya yakin FAM mampu menyelesaikannya secara dalaman. Apa yang penting, mereka perlu memilih seorang presiden baharu yang mampu bertahan lebih lama,” katanya kepada BERNAMA TV
Beliau turut mendedahkan sudah berhubung dengan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berhubung beberapa projek penting yang kini dalam fasa pelaksanaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Katanya, kesinambungan projek nasional perlu dipelihara meskipun berlaku perubahan di peringkat kepimpinan FAM.
Antara projek yang sedang berjalan ialah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang kini melalui fasa transisi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kepada FAM, selain pembinaan National Training Centre di Putrajaya yang dilihat sebagai mercu tanda pembangunan bola sepak negara. Hannah menegaskan sebarang gangguan terhadap projek berkenaan tidak boleh berlaku kerana ia melibatkan masa depan bakat muda tanah air.
Dalam masa sama, Hannah turut menekankan bola sepak Malaysia bertuah kerana masih mendapat sokongan padu daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang banyak memberi sumbangan serta perhatian terhadap pembangunan sukan nombor satu negara itu.
FAM pada Rabu lalu mengesahkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub telah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Presiden selepas hanya enam bulan menerajui badan induk berkenaan, sekali gus membuka laluan kepada Datuk Mohd Yusoff Mahadi untuk memangku jawatan nombor satu itu.
Walaupun langkah mengejut itu mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong, keyakinan yang dizahirkan oleh Menteri Belia dan Sukan menjadi isyarat jelas bahawa hala tuju pembangunan bola sepak negara tetap terjamin dan perjalanan projek utama tidak akan terjejas.