BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menceriakan kem badminton tanah air apabila menempah tiket ke final Kejohanan Dunia 2025 di Paris sejurus menyingkirkan gandingan tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Aksi separuh akhir di Porte De La Chapelle, menyaksikan pasangan ranking keempat dunia itu melakar kemenangan straight set 21-18, 21-16 dalam tempoh 53 minit untuk menutup mulut ribuan penyokong Perancis.

Gandingan ‘gangster duo’, Tang Jie-Ee Wei bijak mengawal rentak perlawanan dengan permainan agresif selain meminimumkan kesilapan mudah untuk menamatkan set pertama 21-18.

Naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024 itu enggan memberi ruang kebangkitan kepada lawan sebelum menoktahkan perlawanan dengan kemenangan bergaya 21-16 di set kedua.

“Ya, ia bukan mudah kerana ini adalah Kejohanan Dunia, tetapi kami cuba langkah demi langkah untuk mengatasi cabaran dan saya amat bersyukur kepada semua yang sentiasa berdiri bersama kami,” kata Ee Wei.

Tang Jie pula menegaskan tugas mereka masih belum selesai kerana hanya satu langkah terakhir yang akan menentukan sama ada gelaran juara dunia menjadi milik mereka atau sebaliknya.

“Esok adalah hari baharu buat kami, jadi fokus kami adalah berehat dengan baik, makan dengan baik dan memastikan kami kembali lebih bersedia di gelanggang,” ujar Tang Jie yang bakal menentang pasangan nombor 2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di final.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Malaysia memiliki dua wakil di pentas final selepas Pearly Tan-M Thinaah terlebih dahulu mengesahkan slot akhir, memberi harapan besar emas berganda buat negara di bumi Paris.