KEAZAMAN Datuk Azizulhasni Awang menetapkan sasaran emas pada Sukan Olimpik Paris 2024, bukan lagi kejutan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kerana sikap pelumba itu yang sering laparkan kemenangan.
Menurut Hannah, Azizulhasni sudah meraih perak sebelum ini (di Tokyo 2020) jadi bukanlah janggal untuk The Pocket Rocketman itu mahu memperbaiki pencapaiannya.
“Kalau tidak ada sasaran untuk pingat barulah saya berasa risau, seperti Azizulhasni saya tahu dia dahagakan pingat emas, saya harap semua atlet terutama yang berada dalam Program Road To Gold (RTG) mempunyai semangat yang sama sepertinya,” kata Hannah, selepas melancarkan Pertunjukan Science in Service of Medals di Universiti Malaya.
Menurutnya, semua atlet dalam Program RTG diberikan bantuan tambahan untuk mempunyai peluang cerah meraih emas.

Hannah Yeoh, selepas melancarkan Pertunjukan Science in Service of Medals di Universiti Malaya. |Foto KBS
“Saya tidak mahu mengatakan bahawa mereka yang lain tidak berpeluang tetapi dalam sukan apa sahaja boleh terjadi.
“Apa sahaja bantuan tambahan yang kita berikan kepada mereka termasuk yang dalam proses kelayakan diharap mampu memberikan aksi terbaik,” katanya.
Azizulhasni sebelum ini mengakui hanya pingat emas berada dalam fikirannya kerana belum pernah memenangi emas sejak empat kali beraksi di Sukan Olimpik sebelum ini.

Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang Road To Paris dengan memenangi beberapa perlumbaan keirin dan pecut.
Azizulhasni turut mengakui, impiannya tetap sama selepas melayakkan diri ke Paris 2024, iaitu meraih emas buat kontinjen negara selepas membawa pulang gangsa di Rio 2016 dan perak pada 2021 di Tokyo.
Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu mahu melengkapkan perjalanannya dalam Olimpik iaitu dari gangsa, perak dan seterusnya emas.
Acara berbasikal trek Paris 2024 dijadual berlangsung di Velodrom Saint Quentin En Yvelines, dan Azizulhasni akan ditemani dua lagi pelumba negara iaitu Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Asri.