SKUAD Piala Thomas negara menyingkir pilihan ketiga/empat kejohanan, iaitu Jepun pada saingan suku akhir untuk menempah pertemuan dengan China pada peringkat empat terbaik, Sabtu ini.

Dalam aksi suku akhir di di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, menyaksikan Malaysia dan China, mengatasi lawan masing-masing dengan kemenangan 3-1.

Ketika Malaysia menidakkan kehebatan Jepun, China yang juga juara 10 kali Piala Thomas pula berjaya menyingkirkan juara bertahan India pada satu lagi saingan suku akhir.

Leong Jun Hao beraksi lebih tenang dan bersemangat ketika mengembalikan Malaysia mendahului ketika berdepan Jepun di suku akhir Piala Thomas 2024.

Kemampuan Malaysia ke separuh akhir itu mengulangi pencapaian edisi 2016 di Kunshan.

Sementara pertemuan terakhir Malaysia-China di pusingan kalah mati adalah apda edisi 2012 di Wuhan, yang menyaksikan skuad negara disingkir pada pusingan suku akhir dan China menjulang Piala Thomas.

Sementara itu, pada aksi suku akhir berdepan Jepun, ketiadaan Kodai Naraoka yang dilaporkan tidak cergas untuk perlawanan itu membuka peluang buat Lee Zii Jia membenam cabaran Kenta Nishimoto 21-13, 21-3.

Lee Zii Jia sumbang mata pertama buat skuad negara.

Bagaimanapun, kedudukan terikat 1-1 apabila beregu pertama negara, Aaron Chia-Soh Wooi terpaksa akur kepada semangat melawan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 14-21, 19-21.

Namun, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan selepas menumpaskan Koki Watanabe 21-13, 21-10.

Mata kemenagan yang dicari direalisasikan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang muncul wira selepas berhempas-pulas menewaskan Akira Koga-Taichi Saito dengan kemenangan 18-21, 21-15, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam enam minit.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tamatkan kebangkitan skaud Jepun dengan meraih mata kemenangan pada aksi suku akhir Piala Thomas 2024.

“Jika Jun Hao tumpas, situasi pasti berbeza tetapi kemenangannya memberikan sedikit kelebihan kepada kami kerana pasukan negara mendahului lawan 2-1. Tekanan tetap ada tetapi kemenangan itu mekurangkan (tekanan),” kata Sze Fei selepas perlawanan.

Sementara itu, Izzuddin mengakui kemenangan mereka ke atas Koga-Saito adalah kemampuan mengikut rentak lawan dan menguasai permainan mereka selain sentiasa ‘enjoy’ dan santai di dalam gelanggang.

“Mungkin kita juga lebih santai dan tenang, kalau mereka juga ‘happy go lucky’, kita pun sama,” kata pemain kelahiran Johor itu.