PASUKAN kebangsaan tidak berhadapan masalah untuk menjinakkan Laos sekaligus kemenangan kedua dari dua perlawanan dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Biarpun aksi agak perlawanan pada babak pertema, Malaysia berjaya menggembirakan hampir 30,000 penyokong dengan kemenangan 5-0 dan mengutip tiga lagi mata untuk mengungguli Kumpulan B dengan enam mata.

Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika berdepan Myammar dalam usaha melakukan penggiliran pemain kerana jadual kejohanan yang padat.

Sergio Aguero membuka jaringan pertama Harimau Malaya bertemu Laos.

Harimau Malaya menguasai sepenuhnya perlawanan dengan beberapa percubaan berjaya dicipta menerusi Faisal Halim dan Safawi Rasid namun tidak dapat menemui jaring Laos yang dikawal penjaga gol berusia 19 tahun, Keo Souvannasangso.

Stadium Nasional bergemuruh pada minit ke-29 apabila Sergio Aguero berjaya memecah kebuntuan dengan gol pertama Malaysia dan juga gol pertama peribadinya dalam tiga penampilan sejak dinaturalisasikan selepas menyudahkan hantaran Nor Hakim Hassan.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama meskipun Malaysia berpeluang menambah jaringan hasil serangan bertubi-tubi namun masih gagal untuk menggandakan kedudukan.

Bersambung babak kedua, Pan-gon melakukan pertukaran taktikal dengan mengeluarkan Sharul Nazeem dan Mukhairi Ajmal digantikan dengan Brendan Gan dan Lee Tuck untuk menambah pilihan di bahagian serangan.

Hasilnya pada minit ke-65, Faisal Halim menggandakan kedudukan Malaysia selepas menerima hantaran yang secukup rasa daripada kapten pasukan, Safawi Rasid.

Penuh emosi… pemain muda negara Haqimi Azim membuat ledakan padu untuk gol keempat.

Berselang tiga minit, Nor Hakim sekali lagi terlibat dengan bantuan jaringan kali ini mencipta jaringan buat Faisal Halim untuk gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini dan gol ketiganya dalam kejohanan.

Haqimi Azim Rosli melakukan ‘dream debut’ apabila hanya memerlukan lima minit selepas dimasukkan untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring dengan merembat gol keempat Malaysia selepas menerima hantaran dari Safawi Rasid.

Stuart Wilkin melengkapkan malam gemilang Malaysia dengan gol kelima dan juga gol perdananya buat Harimau Malaya pada minit ke-87 untuk memberikan kemenangan mutlak buat anak-anak buah Kim Pan Gon.

Dengan kemenangan ini, Malaysia kini di tangga teratas Kumpulan B selepas dua kemenangan dan kekal tanpa bolos manakala Laos kekal di tangga terbawah dengan dua kekalahan tetapi dibezakan jumlah bolos dengan Myanmar.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Singapura berjaya mencatat kemenangan pertama selepas membenam Myanmar 3-2 dalam aksi di Stadium Jalan Besar Singapura.