SELEPAS kegagalan Malaysia mara ke separuh akhir ASEAN Mitsubishi Electric Cup (AMEC) 2024, tugas Pau Marti selaku Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya kini secara rasmi berakhir.

Dalam mesej penuh emosi di laman X, jurulatih kelahiran Sepanyol tersebut menyatakan rasa bangga dan penghargaan atas peluang membimbing skuad kebangsaan sejak Februari 2022.

“Jumpa Lagi, Malaysia! Masa saya bersama Harimau Malaya sudah tamat. Ia satu penghormatan besar untuk mewakili negara yang luar biasa ini di pentas dunia.

Kenangan ini akan kekal selama-lamanya,” tulis Pau.

Di bawah kendalian Pau, Harimau Malaya mencipta beberapa detik manis, termasuk menjuarai Pesta Bola Merdeka 2024 serta mencatat keputusan positif dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan seperti Laos dan India. Selain itu, beliau juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti permainan pasukan dan menyemai semangat kesatuan dalam kalangan pemain serta barisan kejurulatihan.

antara detik manis Pau bersama Harimau Malaya ialah menjuarai Pesta Bola Merdeka 2024.

Namun, perjalanan Pau Marti bersama skuad kebangsaan bukan tanpa cabaran. Antara isu terbesar yang dihadapinya ialah kekurangan pemain dalam kem kebangsaan kerana beberapa kelab tidak memberikan pelepasan pemain, terutama semasa kejohanan dan perlawanan antarabangsa.

Lebih mengecewakan, terdapat situasi di mana pemain yang telah dilepaskan terpaksa kembali ke kelab masing-masing sebelum kejohanan selesai, sekali gus menjejaskan perancangan Pau serta meremehkan kedudukannya sebagai jurulatih. Kekurangan pilihan pemain ini memberi kesan kepada taktikal pasukan, menjadikan Harimau Malaya kurang kompetitif dalam beberapa perlawanan penting.

Walaupun berdepan kekangan ini, Pau tetap berjaya membawa Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik, membuktikan keupayaannya sebagai seorang jurulatih yang berdedikasi.

“Terima kasih kepada semua staf, jurulatih, dan pemain. Anda semua yang terbaik, saya akan merindui anda!” ujar Pau, sambil menyeru agar penyokong terus memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya.

Ciapan yang ditulis di laman X Pau Marti.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada peminat bola sepak Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Jangan pernah berputus asa, teruskan menyokong dan bersorak dengan semangat. Bersama-sama, kita boleh mencapai apa sahaja.”

Kehilangan Pau Marti pasti dirasai, namun legasinya sebagai seorang jurulatih yang penuh komitmen akan terus diingati. Cabaran yang dihadapinya juga menjadi peringatan betapa pentingnya kerjasama antara kelab dan pasukan kebangsaan untuk pembangunan bola sepak negara.

Selamat maju jaya, Pau Marti. Terima kasih atas jasa anda kepada Harimau Malaya.