RIAK senyuman terpancar pada wajah pemain Harimau Malaya semasa sesi latihan hari ke-6, Piala Asia 2023 di padang latihan, Universiti Qatar.
Pemain kendalian Kim Pan-gon turun kelihatan begitu bersemangat apatah bakal melayan pasukan ranking 91 dunia, Syria dalam aksi pemanas badan pada Isnin.
Jelas kelihatan kegigihan pemain Malaysia inginkan mentaliti kemenangan seperti saranan ditetapkan jurulatih walaupun turun berlatih di bawah suhu 19 darjah Selsius.
Bahkan, kem Harimau Malaya mula bermain secara agresif dan menjalani latihan berintensi tinggi sebagai persiapan menghadapi saingan sebenar lawan di Kumpulan E.
Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.