KURANG tumpuan terhadap permainan dan kepenatan antara punca kegagalan Sabah FC gagal memperagakan aksi terbaik pada perlawanan Piala AFC kali ini.

Dalam aksi separuh akhir Zon ASEAN yang berlangsung di Stadium Sukan Campbelltown, The Rhinos bimbingan Datuk Ong Kim Swee tewas 0-3 ketika berdepan kelab dari Australia, Macarthur FC, pada Selasa.

Bahkan, ‘rehat’ dua bulan tanpa sebarang aksi kompetitif selepas Liga Malaysia (Liga M) berakhir pada Disember tahun lalu sedikit sebanyak membuatkan Sabah FC agak bergelut.

“Semua orang semakin penat dan di situlah anda membuat kesilapan.

“Tetapi saya lihat Macarthur mempunyai kualiti yang lebih baik dan mereka ada pemain yang boleh ditukar pada bila-bila masa.

“Kami mempunyai peluang tetapi kami tidak boleh menukar dan di situlah anda tahu kami sedang bergelut,” katanya selepas perlawanan.

Mengulas lanjut, Kim Swee tetap memuji persembahan pemain yang diturunkan, cumanya hilang konsentrasi di akhir permainan mengakibatkan mereka mengalami jumlah jaringan lebih besar.

“Apabila kami bermula dengan cara yang positif, sudah tentu kami akan mengekalkan lebih keyakinan dan pemain saya melakukannya dengan baik.

“Saya lihat apabila ia berlaku menjelang penghujungnya, di situlah kami hilang tumpuan, jadi kami akan dihukum,” katanya.

Ditanya apakah pengajaran yang dapat di ambil pasukan Sabah daripada kempen Piala AFC, ini jawapan Kim Swee.

“Untuk melaksanakan dengan baik pada masa hadapan, ia merupakan pengalaman pembelajaran yang baik untuk pemain kami dan pastinya kami menantikan musim baharu di Malaysia.

“Pada masa yang sama kami akan bersaing dalam ASEAN Club Championship (ACC).

“Itu akan menjadi sesuatu yang kami nantikan dan saya harap daripada kempen AFC ini, ia bukan sahaja mengenai pemain belajar tentang bagaimana kami perlu mengharungi perlawanan berintensiti tinggi terutamanya di Asia.

“Pada masa yang sama, saya berharap pihak pengurusan akan sentiasa menyokong kami dari segi kerjasama jika mahu bermain di peringkat yang sangat tinggi,” ujarnya.