BEKAS pemain dan jurulatih hoki kebangsaan, K. Rajan menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun, awal pagi tadi, di kediamannya di Ipoh.

Anak jati Perak itu pernah menyarung jersi negara pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur dan edisi 1979 di Jakarta yang menyaksikannya menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan.

Karier sebagai pemain turut terpahat apabila mewakili Perak sepanjang 1975 hingga 1980, sebelum beraksi bersama Selangor pada 1981 dan Kuala Lumpur dari 1982 hingga 1987.

K. Rajan berjaya membawa THT menjuarai Piala TNB dan naib juara Liga Hoki Malaysia 2021. |FOTO www.penyusukan.com

Rajan kemudian mengubah haluan sebagai jurulatih dan mencipta legasi tersendiri apabila membimbing Kuala Lumpur merangkul enam kejuaraan Piala Razak antara 1992 hingga 2002.

Jasa dan kredibilitinya diiktiraf apabila dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Singapura pada 2016.

Beliau turut diberi amanah membimbing Terengganu (THT) pada 2021 dan kali terakhir berada di bangku kejurulatihan bersama pasukan Perak pada 2023 selain membimbing skuad wanita Negeri Sembilan dalam kempen Liga Hoki Wanita Malaysia.

Pemergian Rajan meninggalkan kesan besar buat komuniti hoki negara yang menganggapnya sebagai sosok berwibawa, pendidik generasi dan ikon yang sukar diganti.