KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menegaskan pasukannya bersedia menampilkan aksi terbaik tahun ini apabila Malaysia turun menentang Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Clamovski berkata skuad negara menunjukkan kesegaran fizikal dan mental pada sesi latihan, sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk melihat Malaysia menutup kalendar 2025 dengan kemenangan.
“Kami tak sabar untuk latihan malam ini sebelum beri persembahan terbaik untuk negara. Pemain-pemain kelihatan tajam, dari segi mental dan fizikal. Kami mahu cabar diri bermain bola sepak terbaik tahun ini dan kami akan cuba menjaringkan sebanyak mungkin gol sambil memastikan clean sheet,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Mengulas mengenai ketiadaan Afiq Fazail, Romel Morales dan Shahrul Saad, Clamovski menegaskan fokus pasukan tidak boleh terikat kepada individu semata-mata.

“Ya, kami rindu pemain-pemain yang pernah menyumbang kepada pasukan, tetapi ini bukan tentang seorang pemain. Siapa yang turun sebagai kesebelasan utama tahu apa yang perlu dilakukan dan siapa yang masuk sebagai pemain gantian juga akan beri impak,” katanya.
Clamovski turut memberi amaran bahawa Nepal bukan lawan mudah meskipun Harimau Malaya sudah menewaskan mereka 2-0 pada perlawanan peertama kelayakan Mac lalu.
“Mereka tukar jurulatih beberapa minggu lalu dan aksi pertama di bawah jurulatih baharu lawan Bangladesh menunjukkan mereka lawan yang fizikal dan kuat bertahan. Mereka akan cuba ganggu corak permainan kita. Yang penting ialah bagaimana kita mengawal permainan,” jelasnya.
Malaysia kini memburu tiga mata penting untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan F serta memastikan momentum positif dibawa ke tahun baharu.