JAWATANKUASA Road to Gold (RTG) mahu pemain profesional dan pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkongsi gelanggang dalam sesi “sparring” khas, demi meningkatkan daya saing pemain.

Hannah Yeoh menegaskan Malaysia memiliki barisan pemain elit dunia seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei yang sudah cukup untuk menjadi sparring bertaraf dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Road to Gold (RTG), Hannah Yeoh mahu pemain BAM dan Profesional memanfaatkan kelebihan mereka yang berada dalam ranking Top 10 dunia, untuk menjalani latihan bersama, berbanding mendapatkan rakan sparring dari luar.

Pemain profesional seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut berada dalam kelompok Top 10 dunia dan perlu duduk dalam ekosistem latihan sama untuk kekal berbisa.

“Saya mahu atlet pro dan BAM ada masa sparring bersama, kalau tidak, tahap kompetitif mereka akan menurun,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian MoA PACE bersama Majlis Sukan Negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan pemeteraian perjanjian penajaan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan syarikat barangan sukan, PACE.

Hannah mendedahkan rakan sparring berkualiti sudah wujud dalam negara dan RTG kini berbincang dengan BAM untuk menyediakan gelanggang khas untuk sesi ini.

Beliau menjelaskan hanya atlet di bawah senarai RTG akan mengikuti latihan tersebut bagi memaksimumkan persediaan menjelang kejohanan utama dunia.

Dalam pada itu, Hannah turut mengucapkan tahniah kepada Pearly-Thinaah atas kejayaan merangkul gelaran di Masters Kumamoto.