SKUAD hoki dalam dewan wanita terus membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menundukkan Oman dengan keputusan 12-1 pada aksi Kumpulan A Piala Asia Hoki Dalam Dewan, pada Isnin.
Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi enggan terus berasa selesa dan mudah lega akan kemenangan yang diraih, kerana mereka perlu meneruskan perjuangan dalam beberapa perlawanan lagi untuk mengekalkan kejuaraan.
Pasukan Malaysia yang akan menentang Kazakhstan pada hari ini pasti menyaksikan aksi lebih sengit kerana Kazakhstan adalah pasukan yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi dunia.
“Kemenangan menentang Oman adalah penting buat pasukan. Tetapi masih banyak lagi kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan oleh pemain. Kami barisan jurulatih masih tidak berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan pemain.
“Pemain perlu memperbaiki corak permainan yang kami tetapkan dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok.
“Dua kemenangan berturut-turut yang ada jaringan besar merupakan satu keputusan yang positif untuk kami. Namun pemain perlu perbaiki dari segi jaringan dan juga PC.
“Hari ini kami akan bertemu Kazakhstan, iaitu satu pasukan yang kuat. Mereka juga ada pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia. Pemain akan dipersiapkan dengan sebaiknya menjelang perlawanan bertemu Kazakhstan,” ujar jurulatih kepada pihak media.
Berdasarkan dua kemenangan dengan jaringan yang cukup besar berjaya dibuat, Malaysia tampak mempunyai kelebihan kerana telah mengungguli dua permainan pertama.
Skuad hoki dalam dewan wanita diharap dapat menjadikan Kazakhstan sebagai mangsa kekalahan seterusnya.