TIGA pasukan iaitu SBC FC, Sg Putat FC dan Scofa FC melaungkan amaran awal pada aksi pembukaan Liga A3 Komuniti Melaka Super League selepas mencatatkan kemenangan selesa ke atas lawan masing-masing.

Pada perlawanan pembukaan liga, Scofa FC menang bergaya 3-1 keatas Danke FC di Stadium UTeM untuk membuka kempen dengan langkah kanan dan tiga mata penuh berjaya dicapai.

Dalam aksi di Padang UiTM Lendu, SBC FC tanpa belas kasihan membelasah Dynamo FC 10-1 dengan penyerang, Fauzan Nor Yahya meledak hatrik seawal 30 minit permainan sekali gus meletakkan pasukannya kini selesa di tangga teratas.

Di padang yang sama, Sg Putat FC juga tidak mahu ketinggalan apabila menang selesa 4-1 keatas Melaka Cops dengan Azmil Azran Rahman meledak dua gol untuk pembukaan liga yang positif buat kelab komuniti itu.

Dalam satu lagi perlawanan, Serkam FC bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Desa Baru FC 2-2 yang bermain 10 pemain selepas pemain pertahanan dilayangkan kad merah kerana menggagalkan peluang menjaringkan gol di luar kotak penalti.

Liga A3 Komuniti Melaka Super League ini adalah sebahagian daripada liga amatur dibawah kelolaan Amateur Football League (AFL) yang disertai sembilan pasukan komuniti dari seluruh Melaka sebagai platform melahirkan bakat-bakat baharu bola sepak dari komuniti untuk di bawa ke peringkat yang lebih tinggi.