Kredit Gambar: AHF
Skuad hoki lelaki negara memulakan saingan Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah Uzbekistan 7-0 dalam aksi pembukaan hari ini.
Kemenangan besar itu menjadi permulaan positif buat anak buah Brendan Carolan yang kini mengalihkan fokus kepada misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pingat emas Sukan Asia menjadi rebutan penting kerana hanya juara temasya berkenaan akan memperoleh tiket automatik ke temasya Olimpik 2028.
The Speedy Tigers tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan apabila Norsyafiq Sumantri menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-11 bagi meletakkan Speedy Tigers di hadapan.
Faizal Saari kemudian mengambil alih tugas mencipta masalah buat pertahanan Uzbekistan apabila penyerang veteran itu meledakkan gol padang pada minit ke-15 sebelum menyempurnakan satu lagi pukulan penalti sembilan minit kemudian.
Tiga gol tersebut memastikan Malaysia berada dalam keadaan selesa ketika memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 3-0 selepas separuh masa pertama.
Dominasi Speedy Tigers berterusan selepas rehat apabila Azimuddin Syakir Kamaruddin menambah gol keempat menerusi pukulan penalti pada minit ke-36 sebelum Faizal melengkapkan hatriknya tujuh minit kemudian melalui pukulan penalti stroke.
Uzbekistan terus berdepan tekanan apabila Azrai Azad Abu Kamal dan Faiz Jali masing-masing mencatat nama sebagai penjaring pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan besar 7-0 Malaysia.
Kemenangan itu memberikan permulaan sempurna kepada kempen negara di Aichi-Nagoya, dengan Malaysia selepas ini dijadualkan menentang Oman pada 22 September bagi aksi kedua Kumpulan B.