Kredit Gambar: PSM

Skuad regu berpasukan lelaki Malaysia membuka kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan langkah kanan apabila menundukkan tuan rumah Jepun 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B hari ini.

Pertemuan yang berlangsung di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium itu berakhir selepas dua jam 19 minit, dengan Malaysia menguasai sebahagian besar aksi menerusi tiga regu yang diturunkan.

Regu pertama negara terlebih dahulu meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan wakil tuan rumah 15-11, 15-11 dalam perlawanan yang berlangsung sengit.

Kekuatan Malaysia kemudian diteruskan regu kedua yang tampil lebih dominan untuk mencatat kemenangan 15-6, 15-8 sekali gus memastikan Malaysia memenangi keseluruhan pertemuan.

Jepun cuba menghidupkan kembali cabaran menerusi regu ketiga apabila berjaya memenangi set pembukaan 15-13.

Namun, Malaysia segera bangkit dan kembali mengawal permainan sebelum memenangi dua set berikutnya 15-5, 15-6 untuk melengkapkan kemenangan bersih 3-0.

Malaysia akan meneruskan saingan Kumpulan B menentang Filipina dalam aksi kedua esok pada jam 9 pagi waktu Malaysia sebelum menutup pusingan awal berdepan India pada Selasa.