GANDINGAN muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri berpeluang merangkul kejuaraan pertama musim ini dalam saingan Jelajah Dunia BWF, apabila melangkah bergaya ke final Orleans Masters di Orleans, Perancis, awal pagi tadi.
Pasangan ranking ke-40 dunia itu berjaya menewaskan beregu Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft 21-18, 21-16 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Palais des sports.
Diturunkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Hon Jian-Haikal dijadual menentang pilihaan keenam dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di pentas final, malam ini.
Selepas terkandas awal di Indonesia Masters dan Thailand Masters awal tahun ini, kebangkitan dipamer gandingan muda terbabit sememangnya dinanti-nanti peminat badminton tanah air, terutamanya selepas Haikal kembali pulih dari kecederaan.
Final Orleans Masters menjadi yang keempat buat mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu.
Dalam kempen 2023, Hon Jian-Haikal muncul juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Guwahati Masters di India pada Disember.
Orleans Masters bukanlah asing buat Haikal yang pernah melangkah ke final pada edisi 2022 bersama gandingan asalnya, Wan Arif Wan Junaidi.
Mereka bagaimanapun terpaksa menarik diri daripada aksi final dan berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas Haikal diuji positif COVID-19.