SAINGAN merebut gelaran Penjaga Gol Terbaik Liga Malaysia musim ini kian sengit apabila tiga nama terakhir diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan ABK24-25. Masing-masing hadir dengan reputasi tersendiri, statistik mengagumkan dan kisah perjuangan yang memikat.

Ahmad Syihan Hazmi penjaga gol JDT

Ahmad Syihan Hazmi dilihat calon paling dominan, tampil konsisten bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam skuad bertaraf bintang.

Beliau mencatat 12 ‘clean sheet’ dengan hanya lapan bolos musim ini, menjadi tembok kebal yang membantu JDT merangkul tiga piala iaitu, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, sambil mengintai kejuaraan keempat dalam Piala Malaysia 12 April nanti.

Dalam pasukan yang turut memiliki penjaga gawang berkualiti seperti Farizal Marlias, Izham Tarmizi serta penjaga gawang muda Christian Abad, Syihan tetap berdiri teguh di posisi utama.

Haziq Nadzli penjaga gol Perak FC.

Namun, cabaran hadir daripada bekas rakan sepasukannya, Haziq Nadzli yang kini memperkuatkan Perak FC.

Dipinjamkan dari JDT untuk mencari minit permainan, Haziq membalas kepercayaan dengan lima ‘clean sheet’ dan menyelamatkan pasukan muda Perak dari terus tenggelam, walaupun bolos sebanyak 21 kali dalam 15 penampilan.

Prestasinya cukup untuk menarik perhatian jurulatih baru negara, Peter Cklamovski yang menyenaraikannya ke kem kebangsaan.

Bagi Perak yang dihuni ramai pemain muda, tempat ke-7 liga adalah sesuatu yang luar biasa dan Haziq memainkan peranan besar di sebalik kejayaan itu.

Kalamullah Al-Hafiz penjaga gol Selangor FC.

Turut mencuri tumpuan ialah Kalamullah Al-Hafiz dari Selangor FC. Setelah bergelut dengan isu gaji bersama Kedah, Kalamullah membuat keputusan berani untuk berhijrah ke Red Giants dan ternyata langkah itu membuahkan hasil.

Dalam 18 penampilan, pemain asal Kelantan itu mencatat sembilan ‘clean sheet’ dan hanya dibolosi 17 kali, malah menjadi antara tonggak utama pasukan meraih tempat kedua liga serta menjuarai Challenge Cup.

Tiga gaya, tiga cerita, namun hanya satu nama. Siapa pilihan anda untuk dinobatkan sebagai benteng terbaik Liga Malaysia musim ini?