JURULATIH Melaka United, Asri Ninggal jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila Melaka United terlepas peluang mengutip tiga mata apabila diikat Sri Pahang FC pada penghujung perlawanan.

Dia yang ditemui pada sidang media selepas perlawanan nyata tidak berpuas hati kerana kelekaan pada minit-minit akhir menafikan Melaka United untuk mencatat kemenangan.

Namun dia tetap memuji aksi anak-anak buahnya dan tidak merasa kehilangan dua tonggak utama dan akan memperbaiki kesilapan-kesilapan mudah yang menghukum pasukannya.

Asri Ninggal

“Ianya adalah malam yang mengecewakan bagi saya. Kita perlu salahkan diri sendiri kerana kita bermain bagus tetapi leka pada akhir permainan. Kami membenarkan Hidalgo membuat hantaran lintang dan akhirnya kami gagal mengutip peluang yang ada di depan mata.

“Saya memang menjangkakan Sri Pahang akan bermain lebih baik kerana mereka telah mencatat tiga kemenangan sebelum ini. Namun kami berjaya menguasai permainan apabila bermain permainan kami tetapi kelekaan dan keletihan menjadi l punca kami dibolosi.

Ifedayo jaring gol pertama Melaka United

“Pemain yang masuk memberikan persembahan yang bagus. Kami tidak terasa kehilangan Sony dan Haziq tetapi kami tidak menumpukan perhatian dan benarkan lawan menjaringkan gol.

“Kami perlu bangkit dan memperbaiki kelemahan bolos di saat akhir. Sebagai jurulatih saya perlu melihat masalah ini dan perbaikinya,” jelas Asri ketika sidang media.

Kegagalan mendapatkan mata penuh itu menyebabkan Melaka United terlepas peluang naik ke tangga kelima liga namun tetap dapat memperbaiki kedudukan ke tangga ketujuh, naik dua anak tangga dengan 17 mata.