PAHANG Rangers tidak hanya turun dengan misi memburu kejuaraan, tetapi juga mahu menghadiahkan detik manis buat ribuan penyokong setia mereka apabila berdepan Selangor FC dalam pentas final Piala Futsal Malaysia 2025 di Arena N9, Nilai malam ini.

Ketua jurulatih Luis Fonseca Cilleros menegaskan semangat luar biasa yang ditunjukkan penyokong sepanjang musim menjadi pembakar semangat utama pasukan untuk berjuang habis-habisan dalam perlawanan penentu itu.

“Pahang memiliki antara penyokong futsal terbaik dalam negara, kita dapat lihat sokongan luar biasa yang mereka tunjukkan sepanjang musim sejak dari perlawanan liga hinggalah ke malam kebangkitan di Johor minggu lalu,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan, semalam.

Fonseca yang dilantik musim ini menegaskan barisan pemainnya tidak lagi boleh bermain sekadar cukup syarat, sebaliknya perlu tampil dengan lebih daripada 100 peratus usaha untuk memastikan trofi idaman itu jatuh ke pangkuan Tok Gajah.

“Mereka tidak berganjak, saat kita jatuh mereka setia bersama, jadi kita perlu bermain dengan lebih daripada 100 peratus aksi ini untuk menghadiahkan mereka trofi ini. Mereka mahukan final, kita sudah beri. Kini mereka mahukan trofi, kita perlu buat melebihi apa yang kita boleh buat untuk realisasikannya,” ujarnya penuh bersemangat.

Aksi di Nilai malam ini dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan membawa reputasi besar, namun kelebihan moral jelas memihak kepada Pahang yang berbekalkan sokongan padu penyokong setia mereka.

Dengan semangat itu, Pahang Rangers percaya malam esok mampu menjadi saksi sejarah baharu buat skuad futsal Tok Gajah andai berjaya menundukkan gergasi futsal tanah air, Selangor FC.