MALAM tadi, insiden provokasi berlaku di luar Stadium Rajamangala, Bangkok, selepas perlawanan ketiga Kejuaraan ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 antara Malaysia dan Thailand.

Kejadian melibatkan penyokong Malaysia yang diserang oleh sekumpulan penyokong Thailand yang dikenali sebagai golongan “casual” dan hooligans.

Insiden bermula apabila beberapa penyokong Malaysia yang keluar lewat dari pintu stadium menjadi sasaran kumpulan penyokong Thailand.

Kumpulan casual Thailand ini dilaporkan telah melakukan provokasi sejak awal dengan nyanyian berunsur menghina, termasuk menggunakan istilah seperti “anjing.”

Setelah perlawanan tamat, kumpulan tersebut dipercayai mengepung kawasan sekitar stadium dan mula menyerang penyokong Malaysia.

Sumber terdekat FLASH SUKAN memaklumkan, tiga orang penyokong Malaysia dilaporkan cedera dalam serangan ini dan telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Terdapat kritikan terhadap kelewatan pihak polis dan keselamatan stadium dalam menangani situasi ini.

Penyokong Malaysia cedera di bahagian mata semasa ketegangan berlaku.

Walaupun mereka akhirnya hadir ke lokasi, tindakan lambat ini menyebabkan beberapa penyokong Malaysia terperangkap di kawasan stadium tanpa perlindungan.

Pihak polis kemudian bertindak mengawal keadaan dengan mengaturkan bas untuk membawa kumpulan penyokong Malaysia yang masih berada di kawasan stadium ke balai polis untuk keselamatan.

“Sebelum perlawanan, kita kena provokasi terlebih dahulu. Nak masuk ke dalam tu (stadium), mereka asyik memprovokasi. Mereka cakap, “Malaysia itu anjing.”

“Selepas perlawanan, dia tunggu betul-betul depan pagar. Betul-betul depan saya dan penyokong lain, apa lagi, kenalah patah (undur) balik belakang untuk keselamatan,” katanya.

Penyokong Harimau Malaya tidak hirau provokasi casual Thailand semasa edisi 2022 di Thammasat.

Kejadian serangan penyokong Malaysia di Stadium Rajamangala malam tadi bukanlah kali pertama provokasi daripada kumpulan casual dan hooligans Thailand berlaku.

Menurut maklumat yang diterima, insiden serupa dilaporkan berlaku pada tahun lalu, tetapi pada ketika itu, kumpulan berkenaan hanya sekadar melakukan provokasi tanpa melibatkan serangan fizikal.

IMBAS KEMBALI..Casual Thailand melakukan provokasi kepada penyokong Malaysia di Stadium Thammasat pada tahun 2022.

Pada perlawanan sebelumnya, kumpulan ini dilaporkan telah datang ke stadium sambil membaling botol arak ke arah penyokong Malaysia, namun tidak ada sentuhan fizikal yang berlaku. Tingkah laku mereka dilihat sebagai amaran awal yang kini memuncak kepada kejadian lebih serius.

Golongan casual dan hooligans Thailand ini dikatakan baru aktif dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan gaya sokongan yang lebih ekstrem dan agresif. Mereka sering dikaitkan dengan tindakan provokasi terhadap penyokong pasukan lawan, seperti yang berlaku malam tadi.

Kejadian ini mencemarkan semangat kesukanan yang seharusnya menjadi teras dalam setiap perlawanan.

Penyokong Malaysia menyeru agar langkah keselamatan dipertingkatkan pada masa hadapan untuk memastikan kejadian sebegini tidak berulang.

Mereka juga berharap agar pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan tegas terhadap golongan hooligans ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Madam Pang beri jaminan penjagaan rapi kepada penyokong Malaysia yang cedera