KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan meneruskan siasatan terhadap jurulatih bola tampar yang menampar dua pemain bola tampar bulan lepas.

Jurulatih juga guru sebuah sekolah rendah itu telah memohon maaf dan dimaafkan oleh salah seorang pemain.

Menerusi media sosial, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tetap mahu meneruskan siasatan bebas berhubung insiden itu.

“KBS Malaysia akan meneruskan siasatan bebas kami kerana ini bukan tentang seorang jurulatih atau dua pemain tetapi mengikuti duluan yang kami tetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

“Fadhlina Siddiq (Menteri Pendidikan) dan saya bersama-sama dalam hal ini,” ujarnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Lempang Pemain B-14 : Malacca Volleyball Club pertahan jurulatih, rayu jangan hina gelaran botak dan gemuk

Gambar seorang jurulatih yang menampar pemain yang tular di media sosial. – Foto tular

Media tempatan pada Isnin melaporkan EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Melaka, VP Shanmugam, berkata isu berkenaan sudah selesai pada hari kejadian 16 Disember lalu apabila jurulatih terbabit memohon maaf kepada dua pemainnya sejurus tamat saingan separuh akhir.

Shanmugam juga berkata, keputusan sama ada menggantung tugas jurulatih berkenaan akan diputuskan selepas mesyuarat pasca EXCO pada Rabu.