PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menganggap musim 2023 ini adalah musim paling sukar sepanjang karier kejurulatihannya kerana sering mengalami kekalahan demi kekalahan.
Kekalahan terbaharu hadir di tangan Selangor FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya yang juga kekalahan ke-10 Kuching City sejak dinaikkan pangkat ke Liga Super.
Irfan juga berharap kehadiran lima pemain baharu apabila jendela perpindahan kedua dibuka akan menjadi titik tolak kebangkitan pasukan dan tidak lagi mahu kehilangan mata dalam baki perlawanan.
“Kita tidak boleh hilang mata lagi. Tidak pernah dalam sejarah, saya alami kekalahan demi kekalahan dan kami tidak boleh kalah selepas ini. Ini adalah musim paling sukar saya sebagai jurulatih.
“Untuk perlawanan malam ini saya puas hati dengan persembahan pemain tetapi tidak puas hati dengan keputusan dan saya harapkan pada jendela perpindahan kedua ini dengan kehadiran tiga pemain import dan dua pemain tempatan akan perkuatkan lagi jentera serangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali berusia 72 tahun itu turut mengakui risau dengan masalah kebuntuan jaringan yang melanda skuadnya yang hanya menjaringkan lapan gol setakat ini dari keseluruhan empat pemain sahaja.
“Ianya sangat merisaukan. Kita bolos kurang dari pasukan lain yang berada di bawah tetapi menjaringkan gol hanya dari empat pemain dan ianya sangat berbeza berbanding musim lalu di Liga Premier. Dalam bola sepak jika anda tidak dapat jaringkan gol anda seri atau kalah,
“Pemain baharu boleh diturunkan jika lengkap segala dokumen perpindahan dan mereka sudah menjalani latihan selama dua minggu serta kami hanya mahu kekal dalam liga kerana ini adalah musim pertama kami di Liga Super dan kebanyakannya pemain tempatan,” ujarnya.