PENYERANG prolifik Terengganu FC, Ivan Mamut sah menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Penyu dan kekal untuk membawa cabaran dalam kempen Liga Malaysia musim 2024-25 yang akan bermula pada Mei 2024.

Pemain kelahiran Croatia itu muncul penjaring terbanyak buat Terengganu untuk musim 2023 selepas dibawa masuk Tomislav Steinbruckner meskipun mempunyai permulaan yang perlahan pada awal saingan liga.

Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang turut menyatakan Ivan gembira dengan perjalanan kariernya di Terengganu dan berazam untuk beraksi lebih baik musim hadapan.

“Penyerang utama pasukan, Ivan Mamut secara rasmi telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab ini untuk saingan musim hadapan.

“Ivan menyatakan apa yang beliau lalui sepanjang musim bersama kelab termasuk penyokong, barisan kejurulatihan dan rakan pasukan ini telah membantu meningkatkan motivasi dan prestasi beliau.

” Ivan ingin buktikan beliau akan tampil lebih cemerlang untuk musim keduanya bersama kelab ini,” menurut hantaran itu.

Sebagai rekod, Ivan atau digelar Wan Mahmud oleh penyokong Terengganu melakukan 32 penampilan dalam empat kejohanan dan berjaya menjaringkan 24 gol – 11 Liga Super, sembilan Piala Malaysia, dua Piala FA dan dua Piala AFC.

Lanjutan kontrak Mamut juga dilihat sebagai langkah persiapan pasukan yang lebih baik oleh Tomislav yang turut dikekalkan musim hadapan selepas musim pertama yang menyaksikan Terengganu menduduki tangga keenam Liga Super, naib juara Piala Malaysia, semi finalis Piala FA dan tidak tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC.