PENYERANG berbisa Terengganu FC, Ivan Mamut kini sudah kembali ke negeri itu untuk menjalani rawatan pemulihan susulan ekoran kecederaan ‘Left Tendone Achilles’ yang dialaminya ketika latihan pramusim kelab baru-baru ini.

Pemain Croatia itu sebelum ini dibenarkan pulang ke negara asalnya untuk menjalani rawatan bersama pakar di sana dan kini akan dipantau pasukan perubatan kelab bagi memastikan dia bersedia untuk kembali menjalani latihan.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengarah Sukan TFC, Zul Fadli Rozi menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial rasmi kelab.

Mamut menjaringkan 22 gol buat TFC musim lalu.

“Seperti yang penyokong sedia maklum, Ivan Mamut pada ketika ini masih dalam proses rawatan penyembuhan kecederaan (Left Tendone Achilles) yang beliau alami semasa latihan pramusim pasukan.

“Terengganu FC sebelum ini bersetuju untuk membenarkan Ivan Mamut kembali ke Croatia untuk menjalani rawatan bersama pakar disana selama 6 minggu dan beliau dijadualkan untuk kembali ke Terengganu pada 3 Jun 2024.

“Pihak perubatan Terengganu FC akan membuat pemeriksaan seterusnya apabila Ivan tiba disini untuk memastikan sama ada beliau sudah bersedia untuk menjalani latihan penuh bersama pasukan ataupun masih perlu meneruskan rawatan pemulihan bersama pihak perubatan kelab.

“Sememangnya pasukan sangat memerlukan ketajaman penyudah pada ketika ini dan kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh Ivan mampu untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan. Sama-sama kita doakan Ivan segera sembuh sembuh untuk kembali membantu pasukan bagi saingan musim ini,” tulis kenyataan itu.

Kehadiran semula Ivan bakal tambah sengat barisan hadapan TFC.

Ivan hadir ke Gong Badak musim lalu dan berjaya meledak 22 jaringan dari 32 penampilan bersama skuad Peteh dan ketiadaannya sangat dirasai skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pada awal saingan Liga Super musim 2024-25.

Selepas tiga perlawanan, Terengganu kini ditangga kedua liga dibelakang Johor Darul Ta’zim dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri dan berjaya menjaringkan enam gol.

Semestinya kehadiran semula Mamut ke dalam pasukan dinantikan para penyokong yang rindukan sentuhan dan ketajamannya di depan gawang bagi membantu Terengganu menjadi pencabar dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Shopee Cup musim ini.