KAPTEN pasukan Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid secara rasmi mengucapkan selamat tinggal selepas hanya semusim bersama pasukan Pantai Timur itu dan bakal menyarung jersi Kuala Lumpur City FC untuk saingan musim 2025/2026.

Menerusi satu hantaran penuh emosi di Instagram peribadinya, Safawi menyifatkan pengalamannya bersama skuad Penyu sebagai penuh memori indah yang sukar dilupakan, baik daripada segi sokongan penyokong, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan mahupun emosi di atas padang.

“Semuanya terpahat dalam memori… pengalaman yang berharga, penyokong yang cukup setia, rakan sepasukan yang hebat, barisan kejurulatihan yang memahami dan pelbagai emosi sepanjang musim. Terima kasih kepada semua yang menyokong, sama ada di dalam atau luar padang, anda semua buat saya rasa seperti di rumah sendiri,” tulisnya.

Sepanjang musim 2024-2025, pemain sayap kebangsaan itu membuat 35 penampilan bersama Terengganu dan berjaya meledak 18 gol serta mencipta 5 bantuan jaringan  sekaligus menjadikan beliau antara tonggak utama pasukan dalam pelbagai kejohanan.

Bagaimanapun, seperti katanya, “inilah bola sepak”, dan perpindahan ke KL City dilihat sebagai langkah baharu dalam kariernya selepas mengharungi musim yang kompetitif di Terengganu.

Kehilangan Safawi pasti dirasai penyokong TFC, namun pemain kelahiran Dungun itu tetap mendoakan yang terbaik buat bekas pasukannya bagi menghadapi musim baharu.

Sementara itu, peminat bola sepak tempatan pastinya tidak sabar menantikan impak Safawi bersama The City Boys yang kini sedang giat memperkuatkan barisan untuk cabaran Liga Super 2025/2026.