PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memilih atlet Muay Thai muda, Johan (Jojo) Ghazali dan pasukan sepak takraw negara sebagai pemenerima Anugerah Khas SAM-100Plus 2023.

Menerusi satu kenyataan, Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Mubarak berkata, pencapaian Jojo dan regu serta beregu (double) sepak takraw cukup luar biasa.

“Sebenarnya terlalu banyak pencapaian di peringkat tertinggi atlet negara pada tahun lepas dan sukar untuk kita memilih yang terbaik dalam kalangan terbaik.

“Bakat Jojo mula meraih tumpuan ketika meraih emas di Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, dan wajar dijadikan contoh buat atlet muda negara.

“Kita juga tahu bahawa dalam sukan sepak takraw, musuh tradisi adalah Thailand dan semangat juang tinggi ditunjukkan regu dan double negara ketika mengatasi Thailand tempoh hari, mempunyai nilai tersendiri.

“Jadi, SAM melihat pencapaian Jojo dan skuad sepak takraw negara, sebagai satu sejarah,” kata Mohd Hazreen.

Malaysia menang straight set 2-0 ke atas Thailand pada aksi final regu Piala Dunia Sepaktakraw 2024.

Anugerah Khas itu akan disampaikan pada majlis gilang gemilang yang dijadual berlangsung pada 6 Jun ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Hazreen, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadiri majlis itu bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Untuk rekod, seluruh dunia tertumpu kepada Jojo selepas menyinar di arena sukan Muay Thai antarabangsa.

Bakat Jojo memukau apabila kejayaannya menumpaskan Edgar Tabares yang juga juara Muay Thai antarabangsa WBC pada penampilan sulungnya di Primetime US, Once Championships tahun lalu.

Pada usia 17 tahun, Jojo yang mewakili Gim Rentap Muaythai melakar sejarah apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawan yang 13 tahun lebih berusia daripadanya, menerusi knockout pada pusingan pertama.

Malah dia turut ditawarkan kontrak bernilai AS$100,000 (RM470,000).

Sementara itu, kejayaan membawa pulang dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw 2024 di Stadium Titiwangsa menyaksikan Malaysia memecah dominasi Thailand pada 22 Mei lalu.

Wakil beregu negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi yang pertama menghadiahkan pingat emas sebelum trio regu negara yang dibarisi Farhan Adam, Mohammad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alia serta Muhammad Haziq Hairul Nizam memahat kejayaan sama dalam satu hari.

“Walaupun belum menamatkan kemarau 33 tahun dalam acara berpasukan, kita tetap berjaya memecah dominasi Thailand dan kali ini lebih istimewa, disaksikan penyokong sendiri,” kata Mohd Hazreen.

Selain mengiktiraf atlet cemerlang yang mengharumkan nama negara, Majlis Anugerah SAM-100Plus 2023 juga membuka peluang buat penggiat media memenangi hadiah wang tunai keseluruhan bernilai lebih RM50,000.