Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Kumpulan B ACC Shopee Cup 2026/27 dengan penuh bergaya apabila membelasah PKR Svay Rieng 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.
Kemenangan besar itu turut menjadi pembalasan buat Harimau Selatan selepas mereka sekadar seri 2-2 ketika berdepan kelab Kemboja berkenaan dalam saingan kumpulan musim lalu.
JDT bermula dengan rentak menyerang, namun barisan pertahanan Svay Rieng yang tersusun menyebabkan tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-39 untuk membuka jaringan.
Arif Aiman Hanapi muncul pemecah kebuntuan apabila menyudahkan peluang untuk memberikan JDT kelebihan 1-0 sebelum tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, skuad kendalian Xisco Muñoz terus meningkatkan tekanan dan tidak mengambil masa lama untuk menggandakan kelebihan.
Hantaran Jairo da Silva pada minit ke-51 disudahkan Marcos Guilherme untuk menjadikan kedudukan 2-0.
JDT kemudian terus mengganas apabila Kevin Medina menambah jaringan ketiga pada minit ke-61 sebelum penyerang Iran, Shahab Zahedi, meledak gol keempat sembilan minit kemudian.
Keunggulan JDT semakin terserlah pada penghujung permainan apabila pemain muda Daniesh Amirruddin mencipta impak selepas masuk sebagai pemain gantian.
Daniesh hanya memerlukan beberapa minit untuk mencetak gol pertama peribadinya pada minit ke-78 sebelum sekali lagi menemui sasaran lapan minit kemudian bagi melengkapkan kemenangan 6-0 Harimau Selatan.
Kemenangan tersebut membolehkan JDT membuka saingan Kumpulan B dengan tiga mata, selain memiliki kelebihan jaringan yang besar untuk menduduki kelompok teratas kumpulan.
Kemenangan itu juga menjadi permulaan positif buat Xisco Muñoz dan anak buahnya dalam usaha memburu kejayaan di pentas ACC Shopee Cup musim ini.
[/et_pb_text][/et_pb_column][/et_pb_row][/et_pb_section]