PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menegaskan Harimau Selatan perlu bermain dengan disiplin tinggi dan tidak memberi ruang kepada Bangkok United menjelang aksi kedua Shopee Cup pada Khamis di Stadium Sultan Ibrahim.

Berbekalkan kemenangan bergaya 8-0 ke atas Sabah dalam saingan Liga Super, JDT hadir dengan keyakinan tinggi menentang wakil Thailand itu yang baru sahaja tewas kepada Buriram United dalam saingan Liga Thailand.

Namun Xisco mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan Bangkok United yang pantas menghukum lawan sekiranya diberi peluang.

“Perlawanan di antara Bangkok United dan Buriram United menyaksikan kedua-dua pasukan mampu memenangi aksi tersebut sama seperti ketika kami menentang Thunder Castle.

“Namun sekarang kami juga mempunyai kelebihan dengan bermain di halaman sendiri dan kami harus menunjukkan mentaliti, kekuatan dan karakter di tahap terbaik kerana kebiasaannya apabila anda membuka ruang kepada Bangkok United, mereka akan memanfaatkan dengan cepat,” jelasnya pada sidang media pra-perlawanan.

Musim ini, JDT telah merekodkan tujuh kemenangan dan hanya satu kekalahan dalam lapan perlawanan, rekod yang cukup meyakinkan penyokong setia meskipun tumpas kepada Buriram United sebelum ini.

Aksi JDT menentang Bangkok United dijadualkan berlangsung pada 25 September, jam 5:30 petang, di Stadium Sultan Ibrahim dan dijangka menjadi medan penting untuk Harimau Selatan mengukuhkan reputasi mereka dalam kempen Shopee Cup.

SUMBER: JST