PROGRAM Road To Gold (RTG) terus membuktikan peranannya apabila menjadi pemangkin utama kepada kejayaan dua bintang skuasy negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow di pentas antarabangsa.

Sivasangari mendapat suntikan dana RTG untuk meneruskan latihan berpusat di Prague, Republik Czech sekali gus memberi kelebihan dalam meningkatkan tahap permainan ke kelas dunia.

Lebih signifikan, RTG turut meluluskan pembiayaan tambahan bagi jurulatih Gregory Gaultier mengiringinya ke lebih banyak kejohanan selepas terbukti memberi impak positif terhadap prestasi Sivasangari.

S Sivasangari berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 10 dunia.

Hasilnya, pemain berusia 26 tahun itu kini berada di ranking No.8 dunia selepas pernah menghuni tangga No.7 pada Februari lalu, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara 10 terbaik dunia.

Antara pencapaian terkininya termasuk muncul naib juara di Grasshopper Cup pada April lalu dan mara ke separuh akhir London Squash Classic bulan ini.

Bagi Eain Yow pula, sokongan RTG membolehkan beliau berlatih secara konsisten di United Kingdom selain menerima kelulusan tambahan program latihan di Malaysia.

NG Eain Yow kini berada di ranking ke-12 dunia.

Pelaburan itu nyata berbaloi apabila Eain Yow berjaya menjadi naib juara Squash On Fire pada April lalu sebelum menempah slot separuh akhir di London Squash Classic bulan ini.

“Kejayaan Sivasangari dan Eain Yow membuktikan sokongan berterusan RTG memberi impak positif terhadap prestasi atlet, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa mereka mampu mencipta kejayaan lebih besar di pentas dunia,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga Pengerusi Jawatankuasa RTG, dalam kenyataan media yang disediakan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan.