MELAKA United membuat kejutan apabila mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat sekaligus menyekat hajat juara bertahan itu untuk mencatat kemenangan hatrik selepas liga bersambung.
Gol menerusi Justin Baas pada minit ke-39 berjaya memadam gol awal Leandro Velasquez pada minit ke-27 untuk Melaka United mencatat keputusan seri pertama menentang JDT sejak kali terakhir melakukannya pada 2017.
JDT terpaksa membayar harga yang mahal dalam perlawanan ini selepas penyerang utama, Bergson Da Silva terpaksa diusung keluar akibat kecederaan pada minit ke-19 dan selepas itu JDT dilihat bergelut untuk menjaringkan gol.
Melaka United yang beraksi kali ketiga berturut-turut di laman sendiri beraksi dengan penuh semangat meskipun terpaksa merombak pasukan akibat beberapa kecederaan dan syarat pinjaman pemain.
Melaka United lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua dengan JDT lebih banyak mengasak untuk mencari gol kedua tetapi sering dihampakan kekebalan benteng pertahanan.
Skuad Hang Tuah sesekali melakukan serangan balas dengan Sony Norde beberapa kali menguji gawang Farizal Marlias namun tidak berjaya membuahkan hasil.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menggembirakan lebih 14,000 penyokong yang hadir dan memadam kekecewaan tewas pada perlawanan sebelum ini.
Keputusan seri ini juga adalah yang kedua buat JDT musim ini namum Harimau Selatan masih mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang lawan kepada 40 perlawanan sejak Mac 2018.
Walaupun seri, JDT kekal di tangga teratas liga dengan 23 mata selepas sembilan perlawanan manakala Melaka United pula naik satu anak tangga ke tempat kesembilan dengan sembilan mata.