PERSAINGAN Liga Super selepas rehat antarabangsa kembali sengit. Walaupun kedudukan teratas masih dikuasai Johor Darul Ta’zim (JDT), peluang Selangor FC memintas untuk berada di tangga kedua liga terbuka luas.

Pada aksi kelima liga 31 Mac lepas, Selangor meraih tiga mata mengalahkan jiran setempat, Kuala Lumpur City FC sekali gus berlaku peralihan ranking dengan tiga pasukan berkongsi 13 mata iaitu Kedah dan Sabah FC.

Walaupun mempunyai mata yang sama, Red Giants terpaksa akur menerusi perbezaan gol di posisi keempat.

Kini, kemenangan tempoh hari sudah pasti membakar semangat anak buah Tan Cheng Hoe yang tidak sabar menanti kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Kelana Jaya pada Selasa.

Ayron dan Faisal Halim bakal membentuk gandingan berbahaya pada aksi bertemu NSFC di Kelana Jaya.

Jurulatih Selangor dijangka akan mencuba banyak percubaan untuk mengubah formasi untuk mencipta gol buat pemainnya terutama Faisal Halim mula menemui sentuhan gol melalui sepakan penalti.

Kehadiran penyerang import Colombia, Ayron Del Valle juga wajar diberikan perhatian pertahanan skuad Jang kerana setakat ini berjaya menjaringkan empat gol dan boleh dianggap sebagai mesin serangan baharu Selangor.

Bagaimanapun, duo pemain serangan Shahrel Fikri Fauzi dan Casagrande yang bergabung mencetuskan fenomena dan diramal meletup dalam seragam merah NSFC.

Kembalinya Shahrel dengan larian laju boleh mengucar-ngacirkan kawasan kotak penalti dan menjadi aset buat K Devan menurunkan secara kerap dalam perlawanan akan datang.

Malah, Devan menyatakan ada ruang dan peluang Shahrel dimasukkan sebagai pemula bergantung kepada taktikal dan masa yang sesuai.

Pemain berusia 28 tahun itu membalas kepercayaan untuk menyumbat satu gol semasa membantu Jang membenam Kelantan FC termasuk satu bantuan gol buat rakan sepasukan.

Rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 ketika saingan suku akhir Piala Malaysia di Paroi pada 12 November 2022.