JOHOR Darul Ta’zim (JDT) FC terus mencatat sejarah melonjak 31 anak tangga dalam kedudukan ranking kelab bola sepak dunia.

Skuad Harimau Selatan itu kini berada pada ranking ke-415 dunia dan menghuni slot ke-20 pada peringkat Asia.

Dengan kejayaan terbaharu merangkul Piala FA bulan lepas, JDT kini memegang takhta Raja Bola Sepak Asean apabila berjaya mengatasi Buriram United untuk berada pada posisi sebagai kuasa bola sepak Asean.

Menerusi data yang dikeluarkan laman web penganalisis bola sepak, Opta Analyst, kedudukan JDT dilihat kini setanding dengan kuasa besar dalam Liga Inggeris seperti Bolton Wanderers.

Menurut Opta, JDT merupakan antara pasukan tunggal yang berjaya dalam kelompok 1500 terbaik di Malaysia dengan mengumpul 37.7 mata bagi mengizinkan mereka melonjak dari tangga 447 pada Julai sehingga menghuni tangga 415.

Untuk rekod, ranking kelab bola sepak yang mengungguli carta bola sepak dunia adalah Manchester City pada kedudukan pertama diikiuti Bayern Munich di tangga kedua dan Liverpool pada kedudukan ketiga.