JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melebarkan rekod cemerlang ke atas Penang FC dalam Liga Super kepada 10 perlawanan tanpa kalah apabila sekali lagi mencatat kemenangan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Buat kali kedua berturut-turut, JDT hanya turun dengan tiga pemain import dengan polisi penggiliran pemain digunakan ekoran jadual yang padat namun tetap mampu membenam Penang FC 1-0 sekaligus membawa pulang tiga mata.

Penang FC dilihat cuba mencabar JDT terutama pada babak pertama namun sekali lagi dibolosi pada 20 minit terakhir perlawanan untuk terus dibelenggu kekalahan ketujuh musim ini.

Tanpa Bergson Da Silva yang masih cedera, JDT menggunakan kelebihan pemain dari pasukan feeder yang menyaksikan Fernando Rodriguez berjaya menjaringkan gol kemenangan buat Harimau Selatan pada minit ke-69.

JDT membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada pemain simpanan untuk beraksi namun mereka masih mampu memberikan aksi terbaik untuk mengecewakan skuad Harimau Kumbang.

Dengan kemenangan ini, JDT semakin kukuh di puncak liga dengan 29 mata, empat mata mengatasi pasukan di tempat kedua manakala Penang kekal terbawah dengan tujuh mata.