PENGENDALI Sabah, Datuk Ong Kim Swee menganggap kehadiran penyokong yang ramai ke Stadium Likas esok (Jumaat) bukanlah tekanan buat pasukan sebaliknya adalah lambang keyakinan.
Beliau yang ditemui FLASH SUKAN ketika sesi latihan terakhir Sabah FC di Kota Kinabalu nyata tenang dan menunjukkan rasa yakin kepada kemampuan anak-anak buahnya menjelang perlawanan yang mencuri tumpuan semua peminat bola sepak tempatan.
Kim Swee juga mahu pemainnya tidak terburu-buru dalam aksi menentang JDT kerana tidak mahu Sabah FC kehilangan mata terutama apabila beraksi di laman sendiri.
Bercakap mengenai taktikal pula, bekas jurulatih Bawah 23 Tahun kebangsaan itu berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan dan semuanya bergantung ketika perlawanan sedang berlangsung.
“Saya menganggap ini bukanlah tekanan tetapi keyakinan. Penyokong yang datang sejak awal pagi untuk membeli tiket menunjukkan bahawa mereka yakin kepada pasukan. Ini sudah tentu akan menambah semangat pemain untuk memberikan aksi yang baik sepanjang 90 minit.
“Perlawanan menentang JDT ini adalah satu lagi perlawanan yang penting buat Sabah FC. Kita tidak mahu kehilangan mata kerana kita tahu JDT cukup kuat dari segi kualiti dan pemilihan pemain. Kita mahukan mata penuh tetapi tidak mahu terburu-buru dan bermain dengan berdisiplin.
“Dari segi taktikal, tidak banyak perubahan yang berlaku tetapi segalanya bergantung semasa perlawanan sedang berlangsung. Kesemua pemain berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk diturunkan.
Datuk Ong Kim Swee juga memuji inisiatif yang dilakukan oleh pihak pengurusan yang membenarkan para pemain beramah mesra bersama-sama penyokong ketika beratur membeli tiket dan berharap sokongan seperti ini diteruskan pada perlawanan yang lain.
Sabah FC akan turun menentang JDT dalam ‘top of the table clash’ yang bakal menentukan siapakah akan menguasai liga dan pastinya aksi yang menarik akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan yang sedang dalam prestasi terbaik ini.