JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka sekali lagi adalah pasukan pilihan untuk Liga Malaysia musim 2024-25 apabila mempamerkan aksi yang kemas dan meyakinkan ketika kempen pramusim di Sepanyol.

Selepas menjalani latihan selama tiga hari, anak-anak buah Hector Bidoglio itu telah melalui satu perlawanan persahabatan menentang kelab Liga 3 Sepanyol, Real Murcia di Stadium Nueva Condomina pada Rabu.

Menerusi video soroton yang dimuatnaik laman sosial rasmi kelab, JDT dilihat bermain sebagai satu pasukan dengan melakukan hantaran-hantaran pendek serta tekanan tinggi kepada lawan.

Arif Aiman berjaya menjaringkan salah satu gol untuk JDT

Hasilnya, Jalil Elias, Arif Aiman dan Francisco Geraldes masing-masing dapat menjaringkan gol dengan Jalil dan Francisco membuka akaun jaringan mereka sejak menyertai JDT pada awal tahun lalu.

Apa yang lebih menarik, JDT juga berjaya mengekalkan ‘clean sheet‘ dengan barisan pertahanan bergerak sebagai satu unit melindungi Syihan Hazmi yang juga beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan.

Turun dengan kesebelasan terbaik dan meskipun masih tanpa penyerang berbisa, Bergson Da Silva, JDT tidak berdepan masalah untuk menghukum lawan dengan corak permainan pantas.

Pemain-pemain JDT meraikan jaringan Jalil Elias

Satu lagi perlawanan persahabatan akan berlangsung pada Khamis menentang CF La Nucia di Stadium Olimpik Camilo Cano dan Hector Bidoglio pasti akan melakukan penggiliran pemain bagi mencari gandingan pemain terbaik menjelang pembukaan musim baharu.

JDT menjalani kempen pramusim di Melia Villaitana Football Center di Alicante, Sepanyol yang pastinya akan memberikan Harimau Selatan keyakinan penuh untuk menghadapi musim Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.