PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengulas bahawa pasukannya telah membazirkan banyak peluang di depan pintu gawang pihak lawan sewaktu aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Solari yang percaya bahawa skuadnya mampu memberikan jaringan yang lebih daripada keputusan 2-0 turut akur dengan takdir dan tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya.
“Walaupun kita sebenarnya boleh menang 4-0 atau 5-0 tetapi saya tidak mengapa, malam ini mungkin bukan milik JDT untuk bergembira dengan jaringan yang banyak dan saya gembira melihat aksi pemain muda seperti Daryl Sham (KK George) yang mempamerkan semangat tinggi di atas padang,” ujarnya dalam sesi sidang media selepas tamat perlawanan.
Solari turut membahas bahawa dirinya juga enggan meletakkan sebarang sasaran terutamanya dalam menghasilkan genap 100 gol walaupun berbaki dua perlawanan lagi.
Menurutnya, perkara itu bukanlah satu kepentingan namun apa yang menjadi keutamaan adalah mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi sama ada di Piala FA, Piala Malaysia atau Liga Super.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC iaitu Aidil Sharin Sahak tetap menampilkan rasa gembira dan lega dengan aksi yang ditonjolkan oleh anak buahnya walaupun tewas 0-2 kepada pasukan JDT.
Dia yang sudah menghidu jalan sukar apabila hadir bermain di gelanggang JDT terpaksa akur dengan keputusan sekali gus memuji jaringan yang tepat dihasilkan oleh Bergson Da Silva dan Juan Muniz.
“Saya lihat pemain sudah menunjukkan kesungguhan walaupun bertemu juara liga dan mereka sudah berikan segala-galanya dalam perlawanan malam ini (Khamis).
“Bagaimanapun, aksi menentang JDT ini sangat bagus kerana ianya dapat membantu meningkatkan momentum pemain kami untuk menghadapi final Challenge Cup iaitu bertemu PDRM FC.
“Justeru banyak yang kami dapat pelajari dan ianya malam yang positif buat kami. Saya akan cuba memperbaiki setiap kelemahan yang terpamer dalam skuad sekali gus memberi fokus terhadap perlawanan final nanti,” tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN : JDT kekal legasi cemerlang tundukkan Kuching City