TERENGGANU FC tidak mempunyai pilihan lain kecuali mencatatkan kemenangan ke atas PDRM FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu jika mahu keluar daripada kelompok terbawah.
Tidak ada siapa menyangka selepas tiga perlawanan, Terengganu kini menghuni tangga terbawah liga dengan hanya satu mata dan lebih malang, skuad Peteh masih belum mampu untuk menjaringkan sebarang gol.
Terengganu tewas dua perlawanan awal kepada Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman sebelum akhirnya berjaya mendapatkan satu mata berharga di tempat sendiri ketika berhadapan Kuala Lumpur City FC.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner mengakui tidak ada pilihan lain buat mereka kecuali menang untuk keluar dari dasar liga dan dia percaya gol yang dinantikan akan hadir dalam perlawanan ini.
Tomislav yang dihubungi FLASH SUKAN juga menegaskan ada beberapa perubahan akan dibuat dalam pasukan bagi memastikan misi mengutip tiga mata penuh pertama berjaya direalisasikan dihadapan penyokong sendiri.
“Kami tidak mempunyai pilihan lain, kami mahukan tiga mata. Akan ada perubahan dalam pasukan dan saya percaya akhirnya kami akan berjaya menjaringkan gol yang akan membantu kami melonjak dalam kedudukan liga,” katanya.

Dibarisi ramai pemain baharu, skuad Penyu dilihat bergelut dan menimbulkan kebimbangan kepada para penyokong yang mahu sesuatu dilakukan oleh pengurusan kelab bagi memastikan Terengganu kembali digeruni dan bersedia untuk menghadapi Kejohanan Piala AFC.
Ketiadaan Habib Haroon dalam perlawanan sebelum ini nyata menggangu kelancaran permainan Terengganu dan kehadiran Liridon Krasniqi dilihat sedikit sebanyak dapat membantu barisan tengah untuk mencipta peluang jaringan.
PDRM bukanlah lawan yang boleh dipandang enteng kerana mereka berjaya mengejutkan Kedah Darul Aman di Alor Star dalam perlawanan sebelum ini dan aksi di Gong Badak pastinya akan menjadi satu lagi ujian buat Terengganu FC.